PUTRAJAYA: Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 telah digazetkan sebagai pelan strategik utama bagi hala tuju pendidikan tinggi negara sepanjang satu dekad akan datang.
Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, RPTM berperanan sebagai dokumen induk yang merangka pembangunan universiti, politeknik, dan kolej komuniti selari dengan perubahan global, keperluan industri, serta cabaran masa depan negara.
Pelan ini menekankan anjakan paradigma daripada STEM kepada STEAM, mengintegrasikan sains, teknologi, kejuruteraan, seni, dan matematik dengan unsur kemanusiaan, kelestarian, dan pembangunan mampan.
“RPTM 2026–2035 merupakan kali pertama pelan jangka panjang pendidikan tinggi dibangunkan sepenuhnya oleh kepakaran tempatan tanpa bergantung kepada perunding luar.
“Pelan ini bukan sekadar dasar pentadbiran, tetapi menjadi asas membentuk pendidikan tinggi berteraskan kemanusiaan, berpaksikan tujuan, dan berperanan sebagai pembina negara.
“Pendidikan tinggi ialah ‘otak negara’. Sekiranya institusi gagal memainkan peranan, negara akan kehilangan arah tuju,” katanya pada Perutusan Tahun Baharu 2026 Kementerian Pendidikan Tinggi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Selasa.
RPTM juga digariskan sebagai dokumen hidup, yang akan sentiasa diperbaharui mengikut keperluan semasa, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI), pengukuhan inovasi penyelidikan, dan peranan politeknik serta kolej komuniti.
Semua program sedia ada kementerian akan diteruskan untuk memastikan kesinambungan dasar. Pelaksanaan RPTM akan melibatkan ribuan pihak berkepentingan, termasuk institusi pengajian tinggi, industri, dan masyarakat.
Kejayaan pelan ini bergantung kepada kemampuan semua pihak menterjemahkan dasar kepada tindakan sebenar agar pendidikan tinggi negara kekal relevan dan berdaya saing di peringkat global.
Baca juga:








