PETALING JAYA: Fasa terkini operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 di dasar Lautan Hindi Selatan telah mencapai liputan tinjauan yang besar, namun sehingga kini masih tiada penemuan penting atau hasil muktamad dikenal pasti.
Menurut Laporan Ringkasan Kemajuan Operasi Pencarian MH370 (6-15 Januari 2026) yang dimuat naik di Facebook Persatuan Keluarga Penumpang dan Anak Kapal MH370 (MH370 Families), operasi pencarian yang dijalankan menggunakan kapal Armada 8605 telah meliputi kawasan terkumpul kira-kira 7,236.40 kilometer persegi setakat 15 Januari 2026.
Aktiviti pencarian dijalankan di sektor Lautan Hindi Selatan dengan bantuan sehingga tiga Hugin Autonomous Underwater Vehicles (AUV).
Operasi berjalan hampir tanpa gangguan antara 6 hingga 14 Januari, sebelum dihentikan pada 15 Januari akibat cuaca buruk.
Ketiga-tiga AUV berjaya dikeluarkan dengan selamat dan dibawa naik ke atas Armada 8605.
“Operasi ini terus berkembang secara berperingkat dan teratur dalam kawasan pencarian yang telah ditetapkan dengan hasil selanjutnya bergantung kepada kesinambungan tinjauan serta keadaan operasi yang menggalakkan,” menurut laporan itu.
Selepas tempoh lanjutan ini, Armada 8605 dijadualkan kembali ke Fremantle bagi pertukaran kru sebelum meneruskan aktiviti seterusnya.
Pada 3 April tahun lalu, kerajaan Malaysia telah menandatangani perjanjian dengan syarikat Ocean Infinity dari United Kingdom untuk menyambung semula operasi pencarian MH370.
Pesawat MH370 hilang pada 8 Mac 2014 selepas berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal.








