SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kini menjalankan siasatan terhadap pengendalian akaun Facebook rasmi Masjid Bandar Tasik Puteri susulan hantaran kontroversi yang dikaitkan dengan kecenderungan politik kepartian.
Isu itu tercetus selepas pemilik akaun Hasnul Zulkarnain memuat naik hantaran di Facebook dan blog gigitankerengga.blogspot.com bertajuk “Dah kenapa laman rasmi masjid jadi ‘page’ Pas?”, yang menimbulkan persoalan tentang ketelusan dan fungsi institusi masjid sebagai tempat ibadah yang bebas daripada pengaruh politik.
Dalam kenyataan media rasmi yang dikeluarkan pada Rabu, Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya bersama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan mengambil tindakan tegas terhadap kes ini.
“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 12 (a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana melakukan suatu tindakan dengan cara menghina kuasa yang sah atau mengingkari atau melanggar perintah atau arahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor atas sifat Baginda sebagai Ketua Agama Islam di Negeri Selangor,” katanya.
Menurutnya, jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan denda sehingga RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.
MAIS juga berhak mengambil tindakan selaras dengan Peraturan-Peraturan Masjid Dan Surau (Negeri Selangor) Tahun 2017 termasuk pemecatan jawatan pegawai atau ahli jawatankuasa masjid.
Kenyataan itu turut mengulangi titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang mahu masjid dan surau kekal sebagai zon aman, bebas daripada perbalahan dan pengaruh politik.
“Masjid dan surau di Negeri Selangor sentiasa mengambil sikap tidak terlibat atau cenderung atau mencetus apa-apa perkara yang boleh membawa kepada perbalahan dan perpecahan umat Islam khususnya pengaruh politik kepartian,” tegas beliau.
Mohd Shahzihan turut menyeru umat Islam agar menjadikan masjid dan surau sebagai pusat kesatuan dan persepakatan, bukan medan perbezaan yang menanam kebencian.
“Perbezaan untuk memberi nilai tambah kepada ilmu, amal ibadat dan menyucikan hati, bukan berbeza yang menidakkan perkara pokok dan asas agama, mengetepikan ilmu, adab dan sikap dalam berbeza serta berbeza yang menanam hati dan perasaan yang penuh hasad, dendam kesumat, kebencian dan ekstrem,” katanya.
Siasatan masih berjalan dan JAIS menegaskan komitmen mereka untuk memastikan institusi masjid terus dihormati sebagai nadi kekuatan umat Islam, bukan alat propaganda politik.








