Dr Anuar Ahmad: Reformasi Pendidikan Bukti Teguran Berlandaskan Ilmu Didengari

KUALA LUMPUR: Pakar pendidikan, Dr Anuar Ahmad menyifatkan pengumuman terbaharu kerajaan berkaitan reformasi pendidikan sebagai detik yang sangat menggembirakan selepas konsisten menulis, menegur dan mengemukakan cadangan berasaskan fakta serta prinsip ilmu pendidikan.

Menurut beliau, usaha menyuarakan pandangan kritikal terhadap sistem pendidikan negara bukanlah sesuatu yang mudah, malah sering menerima tentangan, kritikan serta pandangan sinis termasuk dakwaan bahawa tulisannya tidak akan dibaca oleh pihak berwajib.

“Saya sedar ramai yang tidak selesa dengan kritikan saya, termasuk rakan yang saya kenal sendiri. Namun saya memilih jalan ini dengan sedar dan bersedia untuk tidak disukai,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Anuar yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM) menegaskan bahawa semua kritikan yang dikemukakan adalah tertumpu kepada kelemahan sistem, bukan individu, serta bebas daripada kepentingan politik atau peribadi. Malah, beliau tetap meneruskan penulisan walaupun pernah menerima surat peringatan.

“Hari ini (Selasa) saya benar-benar gembira kerana apa yang saya suarakan selama ini mula terbukti. Masa akhirnya menentukan bahawa teguran berasaskan ilmu akan sampai juga ke peringkat dasar,” ujarnya.

Antara langkah reformasi pendidikan yang diumumkan dan disambut baik oleh beliau termasuk pengembalian pentaksiran berpusat di Tahun Empat dan Tingkatan Tiga, prasekolah wajib bermula umur lima tahun, kemasukan Tahun Satu pada usia enam tahun serta peruntukan RM100 juta bagi menaik taraf bilik guru dan kebajikan warga pendidik.

Selain itu, beban tugas bukan pengajaran guru akan dikurangkan dengan sasaran 80 peratus masa guru tertumpu kepada instruksional, pemerkasaan JPN dan PPD, pemantapan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, pengukuhan Sejarah, Perlembagaan dan Rukun Negara, akses internet dan peranti di semua sekolah serta perhatian berterusan kepada murid miskin dan OKU.

Dr Anuar turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, serta Kementerian Pendidikan Malaysia atas komitmen melaksanakan reformasi pendidikan negara.

“Selepas ini jiwa saya lebih tenang. Reformasi yang saya harapkan daripada sebuah sistem pendidikan kini mula saya nikmati,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat