PARLIMEN | Kadar kemalangan di lorong ‘smart lane’ dilaporkan berada pada tahap rendah dan tidak signifikan berbanding jumlah kenderaan yang menggunakannya.
Perkara itu sekali gus membuktikan tahap keselamatan laluan tersebut berada dalam keadaan terkawal.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keselamatan sentiasa menjadi keutamaan tertinggi kementeriannya melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebelum dan semasa pelaksanaan inisiatif smart lane di lebuh raya.
Menurut beliau, setiap pengaktifan ‘smart lane’ didahului dengan sesi libat urus bersama syarikat konsesi serta pandangan pelbagai agensi berkaitan termasuk Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Setiap lokasi ‘smart lane’ turut melalui proses semakan terperinci oleh LLM dan syarikat konsesi.
“Ini termasuk penglibatan jurutera profesional bertauliah bagi memastikan pematuhan kepada piawaian keselamatan yang ditetapkan,” katanya.
Alexander berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib, berhubung langkah kerajaan memastikan pelaksanaan ‘smart lane’ tidak meningkatkan risiko kemalangan jalan raya.
Beliau berkata, analisis di beberapa lokasi ‘smart lane’ menunjukkan trend pengurangan kemalangan yang positif sejak ia dilaksanakan.
“Analisis di laluan Putra Mahkota ke Southville menunjukkan pengurangan kemalangan sehingga 22 peratus, manakala laluan R&R Rawang ke Persimpangan Rawang mencatatkan penurunan sehingga 74 peratus berbanding sebelum pengaktifan smart lane,” katanya lagi.
Alexander turut menegaskan bahawa Kementerian Kerja Raya (KKR) komited melaksanakan strategi jangka panjang yang lebih mampan bagi menangani kesesakan trafik khususnya ketika musim perayaan.







