Oleh: Tyah Helmi
PARLIMEN | Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) giat melaksanakan perjawatan secara berperingkat dan berfasa bagi memastikan operasi kawalan sempadan negara dapat berjalan dengan tersusun dan berkesan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail Berkata, pihaknya memberi keutamaan kepada pintu masuk negara yang berisiko tinggi termasuk sempadan darat, pelabuhan utama serta lapangan terbang antarabangsa.
Kata beliau, sepanjang tahun lalu iaitu 2025, AKPS telah ditempatkan secara berfasa di sebanyak 22 lokasi pintu masuk negara.
“Penempatan pegawai juga mengambil kira pengalaman serta latar belakang masing-masing.
“Justeru, agensi tonggak seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Jabatan Imigresen Malaysia menghantar pegawai untuk ditempatkan di AKPS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang diutarakan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung langkah Kerajaan bagi memperkukuhkan lagi AKPS khususnya daripada segi penambahan perjawatan, integrasi kerjasama pelbagai agensi dan kelengkapan teknologi di Sidang Dewan Rakyat pada Rabu
Saifuddin turut menjelaskan, AKPS berperanan sebagai platform integrasi kerjasama pelbagai agensi yang terlibat dalam kawalan sempadan negara.
“Memandangkan AKPS baru setahun memulakan operasi, pengalaman mengawal 22 lokasi pintu masuk itu kini dimanfaatkan melalui perkongsian data, maklumat dan kes-kes yang dikesan bagi membangunkan satu Prosedur Operasi Standard (SOP) rentas agensi.
“Setiap agensi mempunyai fungsi dan budaya kerja yang berbeza, sama ada Kastam, Imigresen, MAQIS, PERHILITAN dan lain-lain. Oleh itu, kita perlu mengharmonikan semua perbezaan ini,” ujarnya.
Menurut beliau, konsep yang diterapkan ialah ‘single command at the entry point’, iaitu satu arahan tunggal di pintu masuk bagi mengelakkan kekeliruan dan pertindihan fungsi.
“Kita menyelaraskan operasi, memperkukuh perkongsian risikan, mengelakkan pertindihan tugas, melaksanakan tindakan pantas serta memastikan tiada kompromi terhadap ancaman keselamatan negara,” jelasnya.
Dalam pada itu, Saifuddin menegaskan bahawa pemerkasaan teknologi merupakan elemen penting dalam kawalan sempadan dan tidak boleh bergantung kepada tenaga manusia semata-mata.
Katanya, penggunaan sistem CCTV, sistem kawalan moden serta perancangan membangunkan sebuah Integrated Checkpoint Management Command Center sedang dirangka berdasarkan pengalaman 12 bulan operasi AKPS.
“Walaupun Kastam, Imigresen dan agensi lain sudah mempunyai sistem masing-masing, namun ke arah konsep satu arahan tunggal, semua sistem ini perlu saling berhubung. Itulah matlamat akhirnya,” katanya.
Baca juga:








