Bekas PTD Mengaku Tidak Bersalah Empat Pertuduhan Pengubahan Wang Haram

KUALA LUMPUR: Bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah keseluruhan RM2.12 juta di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Muhammad Hafizuddeain, 58, yang kelihatan tenang sepanjang prosiding, mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

“Faham pertuduhan, puan. Saya mohon dibicarakan,” katanya, seperti dilaporkan berita tempatan.

Beliau merupakan Panglima Tentera Darat pertama yang didakwa di mahkamah berkaitan kes pengubahan wang haram membabitkan tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Mengikut pertuduhan, Muhammad Hafizuddeain yang telah menghantar surat persaraan daripada perkhidmatan tentera berkuat kuasa 1 Januari lalu, didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM969,000, RM474,850, RM488,550 dan RM190,000, yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank miliknya.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di dua buah bank melibatkan tiga lokasi berbeza, masing-masing di Jalan Melaka, Jalan Tun Perak dan Bukit Damansara, antara 2 Februari 2024 hingga 7 November 2024.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan, atau RM5 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat