PARLIMEN | Kerajaan akan memperketat audit keselamatan terhadap penyedia platform media sosial di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) bagi menangani isu kemudaratan dalam talian, khususnya melibatkan keselamatan kanak-kanak.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata sebuah Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, telah ditubuhkan bagi merangka garis panduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Jawatankuasa ini akan menetapkan beberapa panduan penting termasuk keperluan laporan keselamatan tahunan yang perlu disediakan oleh semua platform,” katanya.

Fahmi berkata, landskap digital kini semakin kompleks dengan kewujudan platform hibrid yang menggabungkan media sosial dan kecerdasan buatan (AI), sekali gus memerlukan pendekatan kawal selia yang lebih menyeluruh.
“Kita perlu pastikan aspek kawal selia ini mampu menangani kemudaratan dalam talian dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mengenai audit keselamatan dan usaha mencegah penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak (CSAM) di Dewan Rakyat pada Khamis.
Mengulas isu platform X, Fahmi berkata platform itu ketika ini dikecualikan daripada pelesenan kerana jumlah pengguna di Malaysia belum mencecah lapan juta, namun kerajaan sedang menilai semula ambang berkenaan susulan insiden terkini.
Fahmi menegaskan sebarang sekatan yang dikenakan bersifat sementara dan bergantung kepada maklum balas pihak platform.
Pada masa sama, Fahmi memaklumkan pihak X menyatakan kesediaan bekerjasama dengan kerajaan termasuk menyertai kempen keselamatan internet bagi memastikan kanak-kanak bawah 16 tahun dilindungi daripada risiko penggunaan media sosial.
Baca juga:







