PETALING JAYA: Kerajaan MADANI menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh pendidikan agama melalui Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) sebagai usaha membina akidah, membentuk akhlak serta menanam nilai murni dalam kalangan generasi muda.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM100,000 bagi menyokong keperluan pembelajaran di KAFA Saidatina Aisyah, Taman Harmoni.
Beliau menyampaikan perkara itu selepas menghadiri majlis bersama pelajar, guru dan ibu bapa di pusat pendidikan tersebut.
“Alhamdulillah, ketemu teman-teman lama yang bersama membina gerakan pendidikan masyarakat sejak awal.
“Pusat pendidikan seperti KAFA Saidatina Aisyah adalah antara inisiatif ABIM yang digerakkan bagi memenuhi keperluan asas agama di peringkat awal sebagai akar kepada kebangkitan dan pembentukan generasi muda yang berjati diri.
“Kita mendambakan anak muda yang terpahat imannya, diperkaya dengan ilmu dan disemai roh perjuangan anak muda yang keyakinan sanubarinya utuh kepada Allah, lalu melahirkan keberanian berfikir, bertindak dan memimpin dengan nilai,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Khamis.
Anwar turut menekankan bahawa dalam kerangka negara MADANI, pembangunan teknologi, digital dan kecerdasan buatan perlu bergerak seiring dengan nilai ihsan, rahmah dan kemanusiaan.
Menurut beliau, kemajuan tidak boleh dipisahkan daripada akar budaya dan adab, agar masyarakat terus maju tanpa mengabaikan asas rohani dan moral.








