Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Hanya manifesto yang benar benar menjadi keperluan mendesak rakyat sahaja yang bakal di bawa oleh Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Mohd Ismail Ayob.
Menerusi hantaran video di laman Facebook rasminya, terdapat enam teras utama manifesto tidak terikat kepada tempoh 100 hari mahupun lima tahun.
Menurut Ismail Ayob, semua cadangan yang dibawa merangkumi keperluan jangka pendek dan jangka panjang, selari dengan aspirasi rakyat Lamag dan Kendapa Tangan.
“Kita lihat manifesto yang dipaparkan malam tadi. Apa sebenarnya perkara paling utama, sama ada dalam tempoh 100 hari atau lima tahun, yang ingin kita bawa di Lamag sekiranya diberi mandat oleh rakyat,” katanya.
Beliau berkata, enam manifesto utama yang digariskan melibatkan isu asas dan pembangunan menyeluruh yang amat mendesak untuk diselesaikan.
“Bagi kita, enam manifesto ini adalah keperluan yang amat mendesak di Lamag dan Kendapa Tangan khususnya. Ia tidak bergantung kepada tempoh masa kerana semuanya perlu dilaksanakan,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa manifesto tersebut mampu direalisasikan dalam tempoh lima tahun dengan sokongan jentera kerajaan serta kerjasama pelbagai agensi berkaitan.
“Saya cukup yakin dan percaya dengan gandingan saya bersama saudara Naim yang mewakili Kerajaan Barisan Nasional. Sudah tentu manifesto-manifesto ini dapat kita selesaikan dalam tempoh lima tahun dan mungkin boleh diawalkan melalui usaha, suara serta kerjasama kementerian dan agensi yang terlibat,” katanya lagi.

Antara teras utama manifesto BN bagi DUN Lamag ialah cadangan pembangunan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lamag yang bertujuan menyediakan rumah mampu milik kepada golongan B40 dan M50, selain membina kawasan perumahan baharu yang lebih tersusun dan selamat.
Manifesto itu juga memberi penekanan kepada penambahbaikan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan elektrik, air dan internet bagi mengurangkan kadar kemiskinan melalui pemilikan rumah sendiri.
Selain itu, BN turut merancang untuk mewujudkan sektor pelancongan, kraftangan, keusahawanan dan kebudayaan di Lamag, termasuk penyediaan ruang tetap jualan produk kraftangan tempatan serta penganjuran pesta kebudayaan tahunan.
Cadangan penubuhan Institut Kemahiran Kendapa Tangan turut menjadi fokus, dengan penawaran latihan dalam bidang automotif, mekanikal, elektrik, pertanian moden, hospitaliti dan pelancongan, di samping kerjasama industri bagi menjamin peluang pekerjaan.
Manifesto tersebut turut merangkumi pembangunan hab STEM dan Maker Hub bagi menggalakkan budaya STEM, TVET dan digital dalam kalangan belia Lamag.
Dalam aspek sukan, beliau memaklumkan cadangan pembinaan kompleks atau mini kompleks sukan di kawasan Kinabatangan bagi menjana ekonomi setempat dan menggerakkan komuniti belia.
“Sukan perlu dijadikan medium perpaduan dan gaya hidup sihat, selain menyokong pembangunan bakat muda dari peringkat sekolah hingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.
BN juga berhasrat menaik taraf infrastruktur asas secara menyeluruh termasuk memastikan bekalan elektrik yang stabil dan selamat, bekalan air bersih mencukupi melalui pembinaan tangki komuniti, penambahbaikan jalan rosak secara berperingkat serta pemasangan lampu jalan solar bagi menjamin keselamatan dan kelancaran pergerakan rakyat.
Baca juga:








