Komposisi Baharu Biro Politik PKR Dijangka Percepat Reformasi Pentadbiran Negara

PETALING JAYA: Pelantikan kepimpinan baharu ke dalam Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) diyakini mampu memberi kesan segera terhadap tadbir urus kerajaan serta memperkukuh pelaksanaan agenda reformasi negara.

Naib Ketua Wanita PKR, Loh Ker Chean berkata, keputusan Mesyuarat MPP mencerminkan kesungguhan parti memperkasa barisan kepimpinan dengan gabungan tokoh berpengalaman dan muka baharu yang berkaliber.

Menurutnya, langkah tersebut akan meningkatkan keselarasan antara hala tuju parti dan pelaksanaan dasar di peringkat pentadbiran, sekali gus mempercepat keberkesanan penyampaian dasar kepada rakyat.

“Gabungan pengalaman dalam pengurusan ekonomi, sosial dan pentadbiran awam akan mempercepatkan pelaksanaan reformasi pentadbiran, selain memastikan agenda reformasi PKR dapat diterjemahkan secara lebih tersusun dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ker Chean berkata, pendekatan itu bukan sahaja menyegarkan kepimpinan parti, malah memastikan PKR kekal relevan, dinamik dan berpaksikan keupayaan sebenar, bukan semata-mata latar belakang politik.

Beliau turut menyifatkan pelantikan tersebut sebagai peneguhan prinsip meritokrasi serta kesiapsiagaan dasar parti dalam menghadapi cabaran pentadbiran negara yang semakin kompleks.

“Penglibatan tokoh yang berpengalaman memikul amanah pentadbiran memberi nilai tambah dalam merangka dasar yang lebih praktikal, realistik dan berteraskan kepentingan rakyat.

“Saya yakin langkah ini akan memperkukuh jentera kepimpinan parti, mempererat sinergi antara parti dan kerajaan serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap PKR sebagai wadah politik yang matang, terbuka dan bersedia memimpin Malaysia secara adil serta berintegriti.” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat