PETALING JAYA: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut baik komitmen Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, yang menyokong seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung cadangan penubuhan jawatankuasa khas anak muda di masjid seluruh negara.
Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, dalam kenyataan media pada Isnin berkata, inisiatif tersebut merupakan langkah strategik untuk mengembalikan peranan masjid sebagai pusat tarbiah, pembangunan ummah dan pembinaan akhlak generasi muda.
“Selaras dengan fungsi masjid pada zaman Rasulullah SAW sebagai pusat ibadah, ilmu dan penyatuan masyarakat,” katanya.
Namun demikian, beliau berkata, kejayaan usaha itu amat bergantung kepada kejelasan mandat, kepercayaan terhadap anak muda serta keberanian pelaksanaan.
“ABIM tidak mahu ianya berakhir sebagai struktur pentadbiran semata-mata yang gagal membina rasa memiliki dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Beliau turut mengemukakan beberapa cadangan agar Jawatankuasa Belia Masjid benar-benar diberi peranan dalam perancangan dan pelaksanaan program, bukan sekadar pelantikan simbolik.
Selain itu katanya, masjid perlu dibangunkan sebagai ruang mesra anak muda yang mendidik dan menyantuni, berasaskan hikmah, dialog serta bimbingan berterusan.
“Anak muda juga wajar diperkasa sebagai penggerak dakwah hikmah dan hubungan kemasyarakatan, termasuk melalui pendekatan seperti program Mosque Tour Guide yang terbukti berkesan membina kefahaman serta keharmonian dalam masyarakat majmuk.
“ABIM turut menegaskan bahawa pendekatan inklusif mesti menjadi prinsip pelaksanaan, termasuk memastikan akses dan penyertaan anak muda OKU agar tiada golongan yang terpinggir secara tidak langsung daripada kehidupan beragama dan kemasyarakatan,” katanya.
Bagi memastikan pelaksanaan lebih tersusun dan konsisten, ABIM berpandangan agar inisiatif itu diperkasakan di peringkat nasional melalui satu kerangka panduan bersama yang menghormati bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri.
Malah Ahmad Fahmi berkata, penganjuran Persidangan Khas Belia Masjid Se-Malaysia turut dicadangkan sebagai platform penyelarasan, perkongsian amalan terbaik dan penzahiran suara anak muda.
“ABIM percaya anak muda bukan menjauh daripada masjid, tetapi sering memerlukan ruang, peranan dan kepercayaan.
“Apabila diberikan peluang dan bimbingan yang sesuai, belia mampu bangkit sebagai penggerak dan pemimpin yang menghidupkan masjid dengan nafas baharu, tanpa mengorbankan roh, adab dan kesuciannya sebagai nadi pembinaan ummah,” katanya.








