PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Selangor menangguhkan sementara pelaksanaan projek ladang babi di Bukit Tagar susulan bantahan keras daripada masyarakat setempat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya kini sedang meneliti tapak alternatif bagi projek tersebut dengan mengambil kira kepentingan pelabur antarabangsa.
Menurut beliau, cadangan tapak alternatif itu selaras dengan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain melalui rundingan berterusan bersama pihak berkaitan.
Amirudin berkata, projek berkenaan bukanlah berskala besar seperti yang disangka sesetengah pihak, sebaliknya hanya sekitar 20 hingga 30 peratus.
“Yang kita nak tangani, saya ulangkan ia mungkin 20 hingga 30 peratus bukan mega, bukan besaran.
“Mega-mega itu semua berlebih-lebihan, ia melampau daripada sewajarnya.
“Isunya di sini ialah kita nak tutup yang tercemar itu,” katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan amanat tahun baharu kepada penjawat awam Selangor di Shah Alam pada Isnin.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan membuat pengumuman awal mengenai projek tersebut sebelum proses perbincangan menyeluruh dilaksanakan.
“Kita belajar daripada hal tersebut, mungkin ada terlebih pengumuman atau agak mendahului daripada apa yang sepatutnya, di mana ‘engagement’ harus dibuat terlebih dahulu,” katanya.
Kerajaan negeri turut menekankan bahawa keputusan muktamad berhubung tapak alternatif atau kaedah lain hanya akan diumumkan selepas semua rundingan dan penilaian selesai bagi memastikan kebimbangan masyarakat ditangani secara berhemah.








