PETALING JAYA: Ringgit Malaysia melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh tujuh tahun selepas Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan susulan kelemahan indeks dolar Amerika Syarikat (AS).
Pada pukul 8 pagi tadi, ringgit dibuka kukuh pada 3.9850/9950 berbanding dolar AS, meningkat daripada 4.0045/0080 yang dicatatkan pada Jumaat lalu.
Untuk rekod, kali terakhir ringgit berada pada paras hampir sama adalah pada 24 Mei 2018, apabila ia diniagakan pada RM3.9797 berbanding dolar AS.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan rasa syukur atas prestasi mata wang negara yang kembali mengatasi dolar AS.
“Alhamdulillah….” kata Perdana Menteri secara ringkas sambil menyantuni para media dengan senyuman lebar, selepas menghadiri Majlis Peluncuran Sambutan 120 Tahun Jabatan Audit Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).








