KUALA LUMPUR: KHK Group menafikan dakwaan bahawa Projek Jalan Pintasan Sungai Lalang melibatkan penyerahan Tanah Rizab Melayu atau pengambilan tanah persendirian secara tidak sah, sambil menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak tepat dan mengelirukan.
Penafian itu dibuat susulan kebimbangan yang sekali lagi dibangkitkan oleh penduduk Kampung Sungai Pening berkaitan pelaksanaan projek berkenaan, termasuk isu pemilikan tanah, status Tanah Rizab Melayu serta dakwaan jajaran jalan yang didakwa merentasi kawasan perkuburan.
Sebahagian penduduk turut mendakwa mereka tidak menerima sebarang notis rasmi berhubung pengambilan tanah dan mempertikaikan kenyataan bahawa persetujuan pemilik tanah telah diperoleh.
Mengulas perkara itu, Timbalan Pengerusi KHK Group, Datuk Zainol Abidin Mohamed menegaskan bahawa projek tersebut dilaksanakan sepenuhnya mengikut peruntukan undang-undang serta mendapat kelulusan semua pihak berkuasa berkaitan.
Beliau menekankan bahawa tiada sebarang kehilangan atau kompromi melibatkan Tanah Rizab Melayu sepanjang pelaksanaan projek itu.
“Tidak walau seinci Tanah Rizab Melayu diserahkan. Sebarang tanah yang terlibat telah diganti sepenuhnya secara satu ganti satu, dan penggantian ini diluluskan oleh Kerajaan Negeri Selangor,” katanya.
Menurut beliau, sebanyak 39 ekar Tanah Rizab Melayu yang terlibat telah digantikan dengan keluasan tanah yang sama di kawasan berhampiran, selaras dengan kehendak undang-undang sedia ada.
Beliau turut menjelaskan bahawa semua proses pengambilan dan penggantian tanah dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan tanpa sebarang jalan pintas.
Selain itu, Zainol menafikan dakwaan bahawa sehingga 60 lot tanah persendirian terlibat, sebaliknya menyatakan jumlah sebenar adalah jauh lebih rendah.
“Hanya 35 lot tanah persendirian terlibat. Jajaran Jalan Pintasan Sungai Lalang ini bukan dirancang secara tergesa-gesa. Ia mula dirancang pada tahun 2016 oleh Majlis Perbandaran Kajang, diluluskan oleh Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor dan dimuktamadkan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau turut menolak tanggapan bahawa projek berkenaan merupakan projek swasta atau bertujuan menguntungkan pemaju tertentu.
Menurutnya, jalan sepanjang 4.3 kilometer itu adalah projek infrastruktur awam yang akan dibina oleh Kerajaan Persekutuan selepas proses pewartaan tanah oleh Kerajaan Negeri Selangor, sebelum diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya Selangor untuk tujuan penyelenggaraan.
“Ini adalah jalan awam untuk kepentingan masyarakat, khususnya penduduk Semenyih yang telah lama berdepan kesesakan lalu lintas yang serius,” katanya.
“Apabila siap kelak, jalan pintasan ini dijangka dapat mengurangkan masa perjalanan ke Kuala Lumpur sehingga 25 minit.”
Mengulas isu pengambilan tanah persendirian, beliau menegaskan bahawa dakwaan tanah ‘dirampas’ adalah tidak benar.
“Tiada pengambilan tanah tanpa pampasan. Semua pemilik tanah yang terlibat akan menerima pampasan berdasarkan penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, mengikut proses yang diperuntukkan di bawah undang-undang,” katanya.
Beliau turut menafikan dakwaan projek itu dilaksanakan secara tergesa-gesa, dengan menyatakan bahawa perancangan, kelulusan serta penyelarasan antara agensi telah berlangsung hampir sedekad.
Projek tersebut melibatkan pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan termasuk pihak berkuasa tempatan, pejabat tanah, jabatan kerja raya serta badan kawal selia infrastruktur.
Selain pembinaan jalan pintasan, projek itu turut merangkumi pembangunan Tanah Perkuburan Awam Persekutuan Islam yang menyediakan kira-kira 104,000 petak kubur, berserta surau dan kemudahan sokongan bagi memenuhi keperluan jangka panjang.
Terdahulu, Malaysia Bangkit turut memaparkan penjelasan beliau mengenai isu sama yang menjadi polemik masyarakat setempat.
Baca juga:








