Oleh: Tyah Helmi
PARLIMEN | Malaysia berjaya mencatat prestasi perdagangan terbaik dalam sejarah negara apabila merekodkan jumlah perdagangan sebanyak RM3.061 trilion pada 2025 dan meningkat 6.3 peratus berbanding 2024.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan itu didorong oleh pelan strategi kerajaan di saat memperluaskan pasaran dan ruang perdagangan ke peringkat global.
“Pada 2025, Malaysia berjaya menjana jualan eksport sebanyak RM45.4 bilion hasil hubungan perdagangan dengan pelbagai negara termasuk United Kingdom, Thailand, Rusia, Itali, Perancis, Brazil, China, Republik Korea serta beberapa negara di Afrika seperti Ethiopia, Kenya dan Afrika Selatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (WPM) di Sidang Parlimen Dewan Rakyat, pada Selasa bagi menjawab soalan yang diutarakan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung yang bertanyakan prestasi dan nilai perdagangan bagi tahun 2025 serta hasil lawatan dan misi perdagangan Perdana Menteri ke luar negara sepanjangtempoh tersebut yang menyumbang kepada peningkatan eksport Malaysia.
Menurut Perdana Menteri, eksport negara tertumpu kepada sektor strategik dan bernilai tinggi seperti gas asli cecair (LNG), minyak sawit, barangan elektrik dan elektronik (E&E) yang menunjukkan peningkatan ketara khususnya dalam subsektor semikonduktor, selain industri aeroangkasa, perabot dan bahan pembuatan lain.
Pada masa yang sama, negara turut berjaya menangkis masalah ketidaktentuan ekonomi global yang berpunca daripada tindakan dasar beberapa negara besar termasuk Amerika Syarikat serta ketegangan geopolitik antarabangsa.
“Alhamdulillah, meskipun berdepan cabaran global, Malaysia kekal berdaya tahan dan mencatat jumlah perdagangan tertinggi dalam sejarah,” katanya.
Anwar turut memaklumkan nilai eksport negara mencapai RM1.63 trilion, meningkat 6.5 peratus berbanding 2024, melibatkan pasaran utama seperti ASEAN, China, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU) dan rakan dagang lain.
Selain itu, prestasi lebihan dagangan negara juga mencatat peningkatan memberangsangkan apabila naik 9.2 peratus kepada RM151.80 bilion berbanding tahun sebelumnya.
Beliau turut menekankan kepentingan pasaran baharu yang menunjukkan pertumbuhan eksport luar biasa, antaranya Kyrgyzstan dengan peningkatan 225.8 peratus, selain Yaman, Tanzania, Togo, Uzbekistan, Angola, Algeria, Nigeria, Puerto Rico, Kenya dan Maghribi.
“Pasaran baharu ini membuka ruang dan peluang besar untuk Malaysia terus mengembangkan perdagangan dengan pendekatan lebih terbuka dan progresif,” ujarnya.
Baca juga:








