Kerajaan Nafi Jurutera Tempatan Berkualiti Rendah

KUALA LUMPUR: Kerajaan menafikan dakwaan bahawa jurutera pakar tempatan tidak diiktiraf sebagai profesional dan berkualiti rendah dan menyifatkan dakwaan itu adalah tidak tepat dan mengelirukan , kata Datuk Seri Alexander Nanti Tinggi.

Menurutnya, Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) merupakan badan berkanun di bawah Akta Pendaftaran Jurutera 1967 yang bertanggungjawab mendaftar, mengawal selia dan mengiktiraf Jurutera Profesional.

“LJM menyediakan laluan yang jelas, berstruktur dan telus melalui Peperiksaan Penilaian Profesional (PAE) bagi 30 disiplin kejuruteraan,” katanya selepas Program Perjumpaan LJM Bersama Institusi dan Persatuan Kejuruteraan Malaysia 2026 serta pelancaran Pelan Strategik LJM 2026–2030 pada Selasa.

Alexander menegaskan jurutera profesional tempatan diiktiraf secara sah dan setara dengan piawaian global, termasuk dalam bidang kejuruteraan baharu.

“Sehingga kini lebih 290,000 pengamal kejuruteraan berdaftar di bawah LJM.

“Tidak dinafikan masih terdapat jurutera yang belum berdaftar namun pendaftaran dengan LJM adalah kewajipan dan mandatori bagi setiap pengamal profesion kejuruteraan,” katanya.

Beliau menambah Pelan Strategik LJM 2026–2030 menetapkan hala tuju industri kejuruteraan negara berteraskan empat teras utama: Bakat, Tadbir Urus, Pengiktirafan dan Inovasi.

Pelan ini selaras dengan Dasar Pembinaan Negara 2030, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Malaysia MADANI.

“Pelan itu juga mengambil kira inisiatif Kertas Putih Gaji Permulaan Jurutera bagi memperkasa modal insan dan meningkatkan daya saing industri tempatan.

“Dengan pelan strategik ini, kita memastikan jurutera tempatan terus diiktiraf, profesional dan bersaing di peringkat global,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat