RM3.1 Juta Disalur Bagi Fasa Pertama Program Dharma MADANI

PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI menyalurkan RM3.1 juta bagi fasa pertama Program Dharma MADANI, melibatkan 155 kuil komuniti India di seluruh negara sebagai usaha memperkukuh institusi rumah ibadat Hindu.

Program itu merupakan inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan peruntukan keseluruhan RM20 juta.

Dana tersebut bertujuan membantu 1,000 rumah ibadat Hindu berdaftar melalui pemberian sekali beri.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, setiap kuil yang layak akan menerima RM20,000 sebagai sokongan kewangan untuk memperkasakan peranan institusi keagamaan dalam pembangunan komuniti India.

“Program ini mensasarkan penyertaan 1,000 rumah ibadat Hindu berdaftar di seluruh negara dengan bantuan kewangan berjumlah RM20,000 setiap rumah ibadat yang layak,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pelaksanaan dan kelulusan bantuan akan dibuat secara berperingkat dengan senarai penerima diumumkan dari semasa ke semasa melalui laman sesawang rasmi MITRA.

“Saya berharap pengerusi dan wakil pengurusan kuil akan memanfaatkan peruntukan ini dengan penuh tanggungjawab, berlandaskan prinsip tatakelola yang baik,” katanya.

Anda Mungkin Berminat