SEMENYIH: Tanggungjawab kerajaan bukan sekadar melaksanakan amanah tetapi memacu perubahan yang nyata demi kesejahteraan rakyat dan masa depan negara yang lebih gemilang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan projek Pembangunan Prasarana Awam Semenyih, yang disifatkan sebagai langkah penting dalam usaha memodenkan prasarana serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat.
“Tanggungjawab kita sebagai Kerajaan bukan sekadar menjalankan amanah tetapi memacu perubahan yang nyata demi kesejahteraan rakyat dan masa depan negara yang lebih gemilang.
“Setiap dasar, setiap inisiatif dan setiap projek yang dilaksanakan haruslah bersasar kepada kepentingan rakyat, agar kehidupan mereka lebih selesa, peluang lebih adil dan harapan kepada masa depan lebih cerah,” katanya.
Projek yang bakal dilaksanakan merangkumi pembinaan jalan pintas serta tapak kubur awam yang dijangka memberi kelegaan kepada penduduk setempat selain meningkatkan mutu kehidupan harian.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut mengingatkan semua pihak termasuk kerajaan negeri agar terus melipatgandakan usaha dan komitmen bagi memastikan perubahan ini dapat dirasai setiap lapisan rakyat.
“Justeru, saya mengingatkan semua pihak termasuk kerajaan negeri supaya terus melipatgandakan usaha dan komitmen bagi memastikan perubahan ini dapat dirasai setiap lapisan rakyat tanpa mengira latar belakang agar mereka dapat menikmati limpahan arus pembangunan, peluang yang lebih luas, dan kehidupan yang lebih bermakna,” katanya lagi.








