KUALA KEDAH: Kampung Selarong Batak, Jalan Batas Paip, dikejutkan dengan kebakaran sebuah bengkel kereta yang mengakibatkan lima kenderaan musnah.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, panggilan kecemasan diterima sekitar pukul 1 pagi sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja digerakkan ke lokasi.
Komander Operasi, Zulkiflee Mat Esa berkata, empat kenderaan iaitu Proton Gen-2, Perodua Kenari, Perodua Kancil dan Nissan Frontier musnah sehingga 90 peratus, manakala sebuah Proton Waja hanya mengalami kerosakan kecil sekitar lima peratus.
“Kebakaran merebak pantas di bahagian hadapan bengkel dan memberi kesan kepada beberapa kenderaan yang sedang dibaiki,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua pancutan air sepanjang 200 kaki dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela dari kawasan berhampiran.
Api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 1.32 pagi dan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Polis serta Tenaga Nasional Berhad turut berada di lokasi bagi membantu operasi.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.








