Bot Bawa 7 Tan Minyak Sawit Mentah Ditahan Di Sandakan

SANDAKAN: Sebuah bot yang membawa kira-kira tujuh tan minyak sawit mentah tanpa permit sah berjaya ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan dalam operasi penguatkuasaan di perairan Sandakan pada Isnin.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, bot berkenaan ditahan kira-kira 0.8 batu nautika tenggara Kampung Gas selepas dikesan bergerak mencurigakan ketika pelaksanaan Op SEJAHTERA, Op PLUTO TIMUR, Op CEGAH PATI dan Op TIRIS.

“Bot dikendalikan seorang lelaki warganegara tempatan berusia 38 tahun bersama seorang lelaki warganegara asing berusia 42 tahun.

“Kedua-duanya gagal mengemukakan dokumen berkaitan pemilikan dan pengangkutan minyak sawit mentah.

“Hasil pemeriksaan mendapati muatan tersebut tiada permit sah daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB),” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kes berkenaan kini disiasat di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 kerana gagal mempamerkan Ikrar Pergerakan Domestik.

Selain itu, beberapa kesalahan lain turut dikenal pasti termasuk tidak mempamerkan lesen, tidak mempamerkan nombor pendaftaran serta membawa muatan tanpa kebenaran di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 serta peraturan pelabuhan berkaitan kapal kecil berlesen.

Kesemua yang ditahan bersama bot dan muatan bernilai kira-kira RM75,000 telah diiring masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk siasatan lanjut.

Anda Mungkin Berminat