Larangan Beli RON95 Oleh Kenderaan Berdaftar Asing Bermula 1 April – Armizan

PARLIMEN | Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkenalkan peraturan baharu yang melarang pembelian petrol bersubsidi RON95 oleh kenderaan bernombor pendaftaran asing, berkuat kuasa mulai 1 April depan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, peraturan baharu di bawah Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961 itu merupakan penambahbaikan kepada larangan sedia ada yang sebelum ini hanya terhad kepada pengusaha stesen minyak.

“Dengan peraturan baharu ini, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap kedua-dua pihak iaitu stesen minyak serta pemilik atau pengguna kenderaan berdaftar asing,” katanya ketika sesi Jawap Lisan di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Beliau berkata, KPDN kini sedang menjalankan sesi libat urus bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan agensi sempadan bagi menyelaraskan prosedur operasi standard penguatkuasaan.

Menurutnya, langkah penguatkuasaan akan melibatkan pemeriksaan berkala di stesen minyak, larangan penjualan RON95 kepada kenderaan berdaftar asing, kawalan pembelian luar tangki, operasi bersepadu bersama agensi keselamatan serta pemantauan transaksi menggunakan kad armada (fleet card) dan analisis data.

Armizan berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN-Kalabakan) mengenai tindakan terhadap pembelian RON95 bersubsidi oleh kenderaan dengan nombor pendaftaran asing.

Menyentuh mengenai trend kes di Sabah, beliau memaklumkan bahawa di kawasan Tawau dan Kalabakan, kes berkaitan pembelian RON95 oleh kenderaan berdaftar asing meningkat daripada lima kes pada 2023 kepada 13 kes pada 2024 dan seterusnya melonjak kepada 34 kes pada 2025 dengan nilai rampasan naik kepada RM40,993.

“Pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 masih baharu, namun pengalaman penyasaran subsidi diesel sebelum ini menunjukkan trend penurunan ketirisan.

“Kerajaan akan sentiasa memperkasa ketangkasan pemantauan dan penguatkuasaan untuk memastikan objektif penyasaran subsidi RON95 tercapai khususnya melalui operasi bersepadu, Ops Tiris dan kerjasama pendekatan serata negara melalui Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (KITA GEMPUR),” tambahnya.

Anda Mungkin Berminat