Seluruh Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM letak jawatan serta merta

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Seluruh Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2025 hingga 2029 telah meletakkan jawatan mereka dengan serta-merta secara sukarela.

Menerusi kenyataan media pada Rabu, FAM berkata, keputusan itu dibuat secara sebulat suara dengan mengambil kira tanggungjawab organisasi dan tanpa mengira kepentingan atau jawatan peribadi.

“Ianya merupakan langkah berhemah dan berprinsip yang diambil susulan situasi terkini yang telah menarik perhatian umum,” katanya.

Jelas FAM, barisan Jawatan Eksekutif mengambil tanggungjawab bersama dan keperluan untuk bertindak dengan cara melindungi integriti FAM.

Dalam pada itu katanya, peletakan jawatan secara kolektif itu bertujuan untuk mencapai beberapa objektif, antaranya ialah FAM mahu menjaga reputasi dan kepentingan organisasinya serta mengurangkan risiko lebih buruk yang boleh menjejaskan bola sepak Malaysia secara keseluruhan.

Selain itu, pihaknya mahu menegakkan prinsip tadbir urus yang baik dan akauntabiliti, terutamanya dalam keadaan di mana keyakinan awam perlu dipelihara.

Dengan peletakan jawatan itu, terdapat ruang sewajarnya kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk bebas menilai, meneliti dan jika perlu, menangani perkara-perkara berkaitan tadbir urus serta hal ehwal pentadbiran FAM.

Malah katanya, ini bagi memastikan sebarang pembaharuan yang perlu dilaksanakan dalam bola sepak Malaysia dapat dijalankan tanpa gangguan serta mengelakkan konflik persepsi, selain mengekalkan asas kepercayaan yang tinggi dalam kalangan semua pihak berkepentingan.

Tegas FAM, bahawa khidmat kepada bola sepak Malaysia adalah lebih utama berbanding tempoh jawatan, walaupun mereka telah diberikan mandat selama empat tahun bagi penggal 2025 hingga 2029.

Keputusan melepaskan jawatan tersebut dibuat selepas kira-kira 11 bulan dilantik, sebagai langkah bertanggungjawab demi kepentingan sukan itu secara keseluruhan.

Pada masa yang langkah berkenaan bertujuan memulihkan keyakinan dalam kalangan penyokong, pihak berkepentingan, rakan strategik serta komuniti bola sepak negara.

Jawatankuasa Eksekutif turut menekankan bahawa mengekalkan kredibiliti institusi adalah amat penting bagi menjamin kestabilan, kelestarian dan pembangunan masa depan bola sepak Malaysia.

Sehubungan itu, mereka menegaskan akan terus memberikan kerjasama penuh kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) serta semua pihak berkepentingan yang relevan, walaupun tidak lagi memegang sebarang jawatan. Komitmen terhadap kepentingan jangka panjang bola sepak Malaysia akan terus menjadi keutamaan mereka.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat