PARLIMEN | Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan polemik berkaitan cadangan menutup dan memindahkan kawasan penternakan babi tradisional yang mencemarkan alam sekitar menjadi panas kerana dipengaruhi sentimen, bukannya berpandukan data dan fakta.
Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata, hasrat kerajaan negeri adalah untuk menutup kawasan penternakan yang dikenal pasti sebagai punca pencemaran dan memindahkan operasi tersebut ke lokasi yang lebih sesuai, jauh daripada kawasan penempatan penduduk.
“Kawasan yang tercemar itulah yang kita mahu tutup. Jika tidak ditutup, pencemaran akan berterusan.
“Sebab itu kita cadangkan supaya penternakan dialihkan ke satu tempat yang lebih tersusun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Fadhli Shari (Pasir Mas-PN) mengenai penternakan ladang babi di Selangor di dewan Rakyat pada Rabu.
Amirudin turut memaklumkan beberapa negeri lain seperti Perak, Sarawak dan Negeri Sembilan telah melaksanakan pendekatan sama bagi mengawal pencemaran dan menyusun semula industri penternakan secara lebih sistematik.
Bagaimanapun, jelasnya, cadangan itu mencetuskan reaksi pelbagai pihak sehingga menjadi isu sensitif.
Kerajaan negeri, katanya, bersikap terbuka untuk mendengar pandangan dan akan menilai semula kawasan yang paling sesuai bagi tujuan berkenaan.
“Kita mahu satu kawasan penternakan yang komprehensif, jauh dari penempatan dan hanya menumpukan sekitar 30 peratus kepada pasaran tempatan.
“Kita dengar pandangan semua pihak dan akan buat penilaian semula,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Amirudin mengingatkan supaya perbincangan berhubung isu berkenaan tidak dipengaruhi sentimen politik semata-mata sehingga mengatasi data dan keperluan sebenar rakyat serta alam sekitar.
Mengulas isu berasingan, beliau turut menyentuh prestasi nilai ringgit yang kini berada sekitar RM3.90 berbanding dolar Amerika Syarikat, yang disifatkan antara terbaik dalam tempoh sedekad, sambil mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri dan kepimpinan kerajaan Persekutuan.
Baca juga:







