Jawatan bukan perhiasan – PM Anwar tegur keras agensi penguatkuasaan

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi teguran keras kepada pasukan penguatkuasa negara agar segala kelompongan dan kelemahan mencemar integriti penguatkuasaan dapat diperbetulkan segera.

Beliau menasihatkan sekiranya amanah yang dipikul terlalu berat, godaan mahupun tekanan membuatkan integriti terjejas maka jawatan yang dipegang itu perlu diberi kepada individu yang lebih bersedia untuk memikul tanggungjawab itu.

“Harus diingat, jawatan yang disandang bukan perhiasan atau keistimewaan, sebaliknya amanah besar yang menuntut keberanian membuat keputusan yang benar, walaupun tidak popular dan sarat dengan risiko,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya pada Rabu.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa tiada ruang untuk sesiapa sahaja mengambil sikap sambil lewa, kompromi murahan atau tolak ansur terhadap sebarang bentuk pengkhianatan amanah.

“Penyeludupan, rasuah serta kegiatan gelap tidak boleh sama sekali dinormalisasikan apatah lagi jika ia berlaku dengan kelonggaran atau perlindungan oleh mereka yang diamanahkan untuk menguatkuasakan undang-undang. Ini adalah pengkhianatan terhadap negara dan rakyat.

“Tindakan tegas wajar diambil tanpa memilih sebarang bulu.

“Rakyat menuntut pembaharuan yang nyata, bukan retorik kosong,” katanya.

Justeru katanya, setiap agensi penguatkuasaan wajib membuktikan perubahan melalui tindakan, disiplin dan ketelusan, serta bekerja sebagai satu pasukan demi memulihkan maruah institusi, bangsa dan negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat