Thaipusam: 12 Persimpangan Jalan Di KL Ditutup Mulai Esok

KUALA LUMPUR: Sebanyak 12 persimpangan jalan di sekitar ibu negara akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat bermula esok (Jumaat) hingga Selasa depan bagi memberi laluan kepada perarakan pedati sempena sambutan Thaipusam pada 1 Februari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, penutupan dan lencongan laluan itu akan bermula pada pukul 9 malam dari Kuil Sri Maha Mariamman Dhevasthanam di Jalan Tun H S Lee menuju ke Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, Selangor.

Menurut beliau, laluan yang terlibat termasuk persimpangan Jalan Leboh Ampang/Jalan Perak, Jalan Tun Perak/Jalan Pudu, Jalan Tun Tan Cheng Lock/Jalan Sultan, Jalan Sultan/Jalan Hang Jebat, Jalan Sultan/Jalan Petaling dan Jalan Sultan/Jalan Panggung.

Selain itu, persimpangan Jalan Sultan/Jalan Tun H S Lee, Jalan Hang Kasturi/Jalan Sultan Mohamed, Jalan Munshi Abdullah/Jalan Dang Wangi, Jalan Dang Wangi/Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut/Jalan Dang Wangi serta Jalan Raja Laut/Jalan Sultan Ismail turut terlibat.

“Pergerakan balik dijangka bermula pada 2 Februari jam 3 petang dan dijangka tiba pada 3 Februari kira-kira jam 4 pagi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Zamzuri menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif yang sesuai bagi mengelakkan kesesakan.

“Kerjasama dan pematuhan arahan anggota polis trafik adalah penting bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan semua pihak,” tambahnya.

Anda Mungkin Berminat