KPM ambil 20,000 guru baharu tampung keperluan sekolah

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengambil seramai 20,000 guru baharu Gred DG9 pada tahun ini demi menampung keperluan sekolah di seluruh negara
.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata langkah itu diambil sebagai persediaan awal menjelang pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026 hingga 2035, selain mengambil kira kemasukan murid berumur enam tahun ke Tahun 1 secara sukarela yang bermula tahun hadapan.

Fadhlina berkata, calon yang terpilih akan ditempatkan secara Contract of Service (CoS) dan diwajibkan mengikuti latihan ikhtisas di Institut Pendidikan Guru (IPG) KPM bagi memastikan kualiti serta kompetensi guru terus terpelihara.

“Bagi memastikan aspek kompetensi guru terpelihara, calon terpilih perlu menjalani latihan ikhtisas di Institut Pendidikan Guru (IPG) KPM dalam pelbagai bidang pengkhususan.

“Inisiatif ini adalah cerminan komitmen berterusan Kerajaan MADANI bagi meningkatkan mutu pendidikan negara demi manfaat anak-anak Malaysia,” katanya di laman rasmi Facebook pada Jumaat.

Dalam kenyataan berasingan, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, berkata proses pengambilan itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

“Permohonan akan dibuka dari 2 hingga 20 Mac ini, manakala saringan dan sesi temu duga dijangka berlangsung antara 27 April hingga 14 Mei,” ujarnya.

Beliau berkata, pengambilan besar-besaran itu mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk memastikan sistem pendidikan negara kekal mampan dan mampu menampung keperluan murid yang semakin meningkat.

Sebelum ini, beberapa pihak menyuarakan kebimbangan bahawa kemasukan murid berumur enam tahun ke Tahun 1 secara sukarela berpotensi menyebabkan kekurangan guru serta ruang bilik darjah di sekolah.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, antara yang menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan dasar tersebut sehingga kesiapsiagaan sekolah benar-benar terjamin.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mengumumkan dasar kemasukan murid Tahun 1 seawal usia enam tahun ketika pelancaran RPM 2026–2035 pada 20 Januari lalu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat