Oleh: Tyah Helmi
PENANTIAN peminat kumpulan nasyid popular, Inteam akhirnya terjawab apabila penganjur, Icon Entertainment mengumumkan secara rasmi senarai penuh lagu yang bakal dipersembahkan dalam Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih yang dijadual berlangsung di Axiata Arena pada 1 Februari ini.
Pengumuman tersebut dibuat menerusi satu kenyataan media yang dikongsi di laman Instagram rasmi penganjur, sekali gus mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat yang telah lama menantikan konsert istimewa sempena ulang tahun ke-25 perjalanan seni Inteam.
Menurut kenyataan itu, senarai lagu yang diumumkan merupakan pilihan muktamad yang dirasakan paling sesuai untuk dipersembahkan pada malam konsert berkenaan, selain mengajak para peminat untuk turut sama menyanyi sepanjang persembahan berlangsung.
Konsert itu turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan artis jemputan istimewa merentas generasi, antaranya maestro muzik Datuk M. Nasir, Nazrey Johani dan Zizi Kirana, sekali gus menjanjikan malam yang sarat dengan elemen kejutan, nostalgia serta momen kebersamaan yang sukar dilupakan.
Berdasarkan poster senarai lagu yang dikongsi, peminat bakal dihiburkan dengan rangkaian karya ikonik yang menjadi tunjang perjalanan seni Inteam selama lebih dua dekad.
Antara lagu yang tersenarai termasuk Dia, Rabiatul Adawiyyah, Kasihku Abadi, Siti Khadijah, Impian Kasih, Damba Kasih, Bisikan Nurani, Allahu Rabbi, Dia Muhammad, Surat Cinta, Iman Aman, Sutera Kasih, Tuhan Yang Esa, Nur Kasih, Az-Ziarah, Pemergianmu, Kasih Kekasih, Bebas Palestin, Satukan Kami Di Syurga, Tiada Tarikh Tamat, Kehidupan, Alhamdulillah, Ya Rabbi Ya, Kalimah Cinta, Mulakan Hari Ini, Ratu Syahidah, Perjalanan 2, Puji-Pujian dan Setanggi Syurga, selain beberapa lagu lain.

Set senarai lagi dilihat begitu sarat dengan emosi di samping penampilan artis jemputan yang pelbagai.
Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih disifatkan bukan sekadar sebuah persembahan hiburan, sebaliknya menjadi medan pertemuan semula peminat dengan lagu-lagu yang pernah menjadi latar doa, semangat, cinta dan perjalanan hidup mereka.
Setiap lagu yang bakal dipersembahkan dijangka membangkitkan memori tersendiri dalam kalangan penonton, termasuk kenangan zaman universiti, kehidupan di asrama sekolah serta sesi muhasabah dalam program motivasi yang sering diiringi lagu-lagu nasyid popular Inteam.
Kepada seluruh peminat yang masih belum memiliki tiket bagi menyelami pengalaman nyanyian nasyid Inteam, tiket konsert masih boleh didapati menerusi platform Ticket2U.
Baca juga:








