Lirik lagu Papa Zola wujud sejak ceramah era reformasi PM Anwar

Oleh: Tyah Helmi

LIRIK lagu filem epik animasi terkenal iaitu Papa Zola The Movie kini mencuri perhatian apabila ramai mendakwa ianya mempunyai kaitan rapat dengan ceramah politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa era Reformasi pada penghujung 1990-an.

Perkara itu dikongsikan oleh seorang pengguna laman sosial Threads yang dikenali sebagai Zaidi Hartanah, yang memuat naik hantaran sebuah rakaman video yang mendakwa lirik lagu berjudul Kita Usahakan Lagi iaitu runut bunyi asal (OST) Papa Zola The Movie, telah diciptakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak tahun 1998.

Menurut dakwaan tersebut, inspirasi lirik lagu berkenaan diambil daripada petikan ceramah politik Anwar Ibrahim ketika beliau aktif menyampaikan mesej perjuangan dan harapan kepada rakyat sewaktu era Reformasi.

Antara bait lirik yang dikongsikan dan menjadi perhatian ialah:
“Kalau bukan hari ini mungkin minggu depan
Kalau bukan minggu depan mungkin bulan depan
Kalau bukan bulan depan mungkin tahun depan
Segala harapan akan datang yang kita impikan”

Perkongsian berkenaan mencetuskan perbincangan dalam kalangan warga di atas talian, khususnya mengenai pengaruh wacana politik era Reformasi terhadap karya seni dan budaya popular, termasuk muzik dan filem tempatan.

Bagaimanapun, setakat ini tiada pengesahan rasmi daripada pihak produksi Papa Zola The Movie mahupun Anwar sendiri berhubung dakwaan asal-usul lirik lagu berkenaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat