KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana penjawat awam yang menyalahgunakan kuasa atau terlibat dalam amalan rasuah, termasuk mereka yang berada di peringkat pengurusan tertinggi, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Menurut beliau, susulan perkembangan terkini melibatkan tangkapan serta siasatan berkaitan salah guna kuasa, perkhidmatan awam akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan berlandaskan undang-undang.
“Perkhidmatan awam tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana penjawat awam mengikut peruntukan perundangan sedia ada sekiranya mereka didapati bersalah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Shamsul Azri menegaskan bahawa penolakan terhadap salah guna kuasa, rasuah dan kelemahan tadbir urus merupakan prinsip asas bagi mengekalkan kredibiliti perkhidmatan awam serta mengelakkan hakisan kepercayaan rakyat terhadap institusi teras negara.
Beliau berkata nilai integriti mesti terus menjadi teras dalam penyampaian perkhidmatan awam yang berkesan, termasuk dalam usaha membendung ketirisan hasil negara serta mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara, selaras dengan aspirasi Kerajaan Malaysia MADANI.
Dalam tempoh setahun kebelakangan ini, agensi penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil tindakan tegas terhadap pelbagai kes salah laku dan rasuah, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh integriti perkhidmatan awam.
SPRM sebelum ini melancarkan beberapa operasi berprofil tinggi yang melibatkan pegawai kanan di pelbagai kementerian dan agensi, termasuk kes berkaitan pengurusan kewangan, perolehan serta salah guna kuasa di peringkat pengurusan tertinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut berulang kali menegaskan bahawa integriti merupakan tunjang utama dalam usaha memulihkan keyakinan rakyat dan pelabur, serta menekankan bahawa tindakan tegas tanpa mengira pangkat perlu dilaksanakan bagi memastikan tadbir urus kerajaan kekal bersih dan berkesan.
Baca juga:








