Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia menjadi negara yang kuat kerana ianya pelbagai dengan rencam budaya dan agama.
Anwar menyifatkan kepelbagaian itu yang mengikat Malaysia dalam semangat perpaduan dan keharmonian. Justeru, ia mesti terus dipelihara dengan menolak sebarang usaha menanam bibit kebencian, perpecahan dan prasangka antara kaum dan agama.
Beliau berkata demikian, seusai melaksanakan solat Jumaat di Gombak dan berkunjung ke pekarangan Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves bagi meninjau persiapan penganut Hindu menjelang hari Thaipusam Ahad ini.
“Tinjauan ini dibuat bagi memastikan aspek keselamatan, kebersihan dan keselesaan diberi perhatian sewajarnya agar penganut Hindu dapat beribadat dalam keadaan baik,” katanya.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas sambutan yang begitu meriah dan mesra daripada pengurusan kuil, penganut Hindu serta pengunjung.
“Keramahan kalian mencerminkan semangat muhibah yang menjadi tunjang kekuatan negara kita.
“Semoga Thaipusam kali ini membawa kebahagiaan, kesejahteraan dan ketenangan buat seluruh penganut Hindu,” ujarnya.








