PETALING JAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyenaraikan lima negeri iaitu Johor, Selangor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak sebagai ‘lombong emas’ yang memerlukan tumpuan strategik suruhanjaya itu.
Azam berkata, istilah tersebut merujuk kepada negeri yang mempunyai isu ekonomi dan rasuah yang perlu ditangani secara berfokus bagi membantu negara mencapai status berpendapatan tinggi.
“Istilah ‘lombong emas’ ini bukan bermaksud kita mahu menangkap orang, tetapi kita mahu melihat isu ekonomi dan isu rasuah yang perlu kita bantu selesaikan.
“Saya telah sebut sebelum ini bahawa peranan SPRM dalam mencegah rasuah adalah untuk membantu mengembangkan ekonomi negara supaya kita menjadi negara berpendapatan tinggi suatu hari nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu podcast Kolar Hitam bertajuk ‘Azam 2026 Membawa SPRM Berani & Radikal’, seperti dilaporkan Berita Harian.
Menurut Azam, pakar menjangkakan sasaran negara berpendapatan tinggi berkemungkinan dapat dicapai menjelang tahun 2030.
Sebelum ini, Azam mengumumkan Pelan Strategik SPRM 2026-2030 yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan penguatkuasaan berkesan, pencegahan rasuah secara menyeluruh serta pengurusan organisasi yang efektif.
Beliau berkata, setiap pengarah SPRM negeri dan bahagian diarahkan untuk mengenal pasti risiko rasuah di peringkat individu, organisasi, sektor, negeri dan negara, selaras dengan realiti bahawa corak rasuah berbeza mengikut geografi, budaya dan ekosistem ekonomi setempat.
Dalam pada itu, Azam memberi amaran kepada semua pengarah SPRM negeri supaya menggunakan pendekatan kreatif dan berkesan dalam melaksanakan tugas, dan tidak bergantung semata-mata kepada kaedah rutin.
“Ambil contoh di Kelantan, jika pengarah tidur, saya pastikan dia bekerja 36 jam kerana isu di sana melibatkan sempadan, pencerobohan hutan dan mineral yang perlu ditangani.
“Jika masih melakukan kerja rutin seperti tangkapan kecil di tepi jalan, itu menunjukkan SPRM tidak berfungsi secara efektif,” katanya.
Baca juga:








