KAJANG: Sebanyak 5,000 kad SIM dan 50 peralatan SIM Box dirampas dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini.
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi tersebut menyasarkan sindiket yang menyalahgunakan peralatan SIM Box serta kad SIM secara pukal, termasuk kad SIM asing, bagi menjalankan aktiviti penipuan dan jenayah dalam talian secara berskala besar.
Menurut MCMC, penggunaan SIM Box dan kad SIM secara pukal sering disalahgunakan untuk mewujudkan akaun palsu dalam talian secara besar-besaran, memintas kawalan keselamatan platform digital serta memudahkan pelbagai kegiatan jenayah siber, termasuk penipuan dalam talian.

“Penyalahgunaan peralatan SIM Box dan kad SIM secara pukal, termasuk kad SIM asing, memberi ancaman serius terhadap integriti rangkaian komunikasi negara serta keselamatan pengguna,” menurut kenyataan itu.
MCMC turut menegaskan bahawa aktiviti sedemikian boleh menjejaskan keselamatan digital negara dan meningkatkan risiko kepada orang ramai.
Siasatan kes tersebut dijalankan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
Baca juga:








