LPP sokong penuh Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) mendukung penuh baik Peluncuran Dasar Keterjaminan Makanan Negara (DKMN 2030) yang diusahakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negara.

Menurut Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar, langkah tersebut amat penting yang menandakan kesedaran negara bahawa isu makanan bukan lagi isu pinggiran namun soal keselamatan, keadilan sosial dan kedaulatan negara.

Bagaimanapun katanya, kejayaan berkait dengan dasar itu tidak akan ditentukan oleh betapa indahnya dokumen atau jumlah inisiatif yang diumumkan namun oleh keberanian politik untuk membetulkan struktur sistem makanan negara.

“Realitinya, kenaikan harga makanan hari ini bukan semata-mata berpunca daripada peladang atau kekurangan bekalan, tetapi daripada struktur pasaran yang membenarkan manipulasi, monopoli dan ketidakseimbangan kuasa dalam rantaian bekalan.

“Jika isu orang tengah dan kartel tidak ditangani secara serius, maka keterjaminan makanan akan kekal sebagai slogan, bukan realiti,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Lebih membimbangkan lagi katanya, golongan peladang di negara ini kekal menjadi kumpulan yang paling berisiko dalam sistem makanan negara yang kian menanggung kos, ketidaktentuan cuaca dan ketidaktentuan harga.

“Sementara nilai keuntungan di hujung rantaian. Selagi peladang hidup atas ihsan subsidi, selagi itulah sistem makanan negara rapuh,” ujarnya.

Mahfuz turut menegaskan bahawa pelaksanaan DKMN juga harus difahami sebagai isu akhlak dan keadilan dan bukannya ekonomi semata-mata.

“Dalam mana-mana masyarakat beradab, makanan tidak boleh dijadikan alat eksploitasi.

“Pembaziran, sorok bekalan dan manipulasi harga adalah kegagalan moral yang mesti ditangani dengan tegas,” katanya.

Pada masa sama, beliau berpandangan bahawa golongan muda pula tidak menolak sektor pertanian, namun mereka menolak masa depan tanpa ekonomi.

Justeru katanya, tanpa agenda reformasi yang menjadikan sebagai sektor bernilai tinggi, berteknologi dan berasaskan pemilikan ekuiti, dasar ini akan gagal menarik generasi pelapis.

“Akhirnya, keterjaminan makanan sebenar bukan diukur apabila laporan tahunan kelihatan cantik, tetapi apabila rakyat tidak cemas membeli makanan, peladang hidup bermaruah, dan negara tidak panik ketika dunia berdepan krisis,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat