Kuasa Pengampunan Bukan Alat Politik, Titah Sultan Pahang

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan bahawa kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak wajar dilihat sebagai hadiah politik atau berasaskan simpati peribadi.

Baginda bertitah, kuasa tersebut merupakan satu mekanisme perlembagaan yang sah dan berfungsi sebagai imbangan terakhir dalam sistem keadilan negara yang bersifat menghukum.

“Kuasa pengampunan yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan perlu dinilai dengan emosi dan jiwa yang tenang, bukan melalui sentimen melampau atau pemikiran yang terburu-buru,” titah baginda menerusi hantaran Facebook Kesultanan Pahang pada Isnin.

Al-Sultan Abdullah turut menegaskan bahawa sebarang pengampunan atau pengurangan hukuman tidak memadamkan sabitan mahkamah, tidak menghapuskan rekod kesalahan serta tidak menjejaskan prinsip kedaulatan undang-undang yang menjadi asas pentadbiran negara.

Menurut baginda, pengampunan dan pengurangan hukuman bukanlah sesuatu yang eksklusif kepada individu, parti politik atau kedudukan tertentu. Setiap tahun, ratusan banduan daripada pelbagai latar belakang kes, termasuk jenayah berat dan ringan, menerima pertimbangan pengampunan atau pengurangan hukuman daripada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menghadiri Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang Kali Ke-120 di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan. Turut berangkat, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Dalam pada itu, Sultan Pahang menegaskan bahawa keputusan pengampunan tidak dibuat secara unilateral, sebaliknya melalui musyawarah Lembaga Pengampunan yang dianggotai wakil institusi utama negara atau negeri, sekali gus mencerminkan proses semak dan imbang yang berlapis.

Baginda turut bertitah bahawa dalam sistem Raja Berperlembagaan, institusi raja tidak tunduk kepada tekanan politik atau sentimen awam, sebaliknya berperanan sebagai payung keadilan yang menenangkan keadaan ketika emosi memuncak.

“Kuasa pengampunan tidak harus dianggap sebagai kelemahan sistem, sebaliknya sebagai peringatan bahawa negara ini tidak ditadbir berasaskan emosi media sosial, penghakiman politik atau kemarahan awam,” titah baginda.

Sultan Pahang turut menzahirkan keyakinan bahawa Malaysia akan terus kekal sebagai sebuah negara yang berprinsip dan berdoa agar negara serta negeri Pahang sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat