Oleh: Tyah Helmi
RAFAH: Pintu utama di lintasan Rafah akhirnya dibuka semula oleh rejim haram Israel dan rakyat Palestin yang cedera dari Gaza mula memasuki Mesir.
Difahamkan, lintasan Rafah dibuka telah semula untuk pergerakan orang awam.
Lintasan itu sebelum ini hampir sepenuhnya ditutup sejak Mei 2024, susulan penguasaan kawasan Gaza oleh tentera Israel.
Pembukaan semula Rafah disifatkan sebagai talian hayat kepada penduduk Gaza yang terperangkap, namun pada masa sama menimbulkan kekecewaan apabila hanya sejumlah kecil individu dibenarkan keluar, manakala kemasukan barangan masih tidak dibenarkan.
Menurut hospital tempatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan kira-kira 20,000 pesakit dan mangsa cedera masih menunggu peluang untuk mendapatkan rawatan perubatan di luar Gaza.
Laporan media Israel menyatakan hanya sekitar 50 pesakit, bersama seorang atau dua ahli keluarga, dibenarkan meninggalkan Gaza setiap hari melalui lintasan berkenaan.
Lintasan Rafah kini dikendalikan oleh penyelia Kesatuan Eropah dengan sokongan kakitangan Palestin, sementara pemeriksaan keselamatan dilakukan oleh Israel dari jarak jauh.
Media Mesir melaporkan beberapa ambulans telah membawa kumpulan pertama pesakit Palestin ke hospital di Mesir sejurus pembukaan semula lintasan itu.
Sebelum ini, pembukaan Rafah dilaporkan tertangguh susulan syarat Israel agar mayat tebusan terakhir Israel di Gaza diserahkan, yang disahkan berlaku pada minggu lalu.
Israel melancarkan kempen ketenteraan berskala besar di Gaza selepas serangan yang diketuai Hamas pada 7 Oktober 2023.
Sejak itu, lebih 71,800 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.
Baca juga:








