Seorang Maut Dalam Kemalangan Tiga Kenderaan

KOTA TINGGI: Seorang lelaki berusia 53 tahun disahkan meninggal dunia selepas motosikal Honda CBR150R yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 67, Jalan Sungai Rengit–Kota Tinggi, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu kira-kira pukul 9.35 pagi.

Menurut beliau, kemalangan melibatkan sebuah lori Isuzu dipandu lelaki tempatan berusia 43 tahun, sebuah kereta Toyota Corolla Altis dipandu wanita berusia 78 tahun, serta motosikal mangsa.

“Dalam kejadian itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan bedah siasat, manakala pemandu lori Isuzu dirujuk ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan.

“Pemandu kereta Toyota Corolla Altis dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun, denda RM20,000 hingga RM50,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhemah, peka dan mematuhi undang-undang jalan raya demi keselamatan bersama.

Anda Mungkin Berminat