PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dan kecewa terhadap insiden membakar suar di Jambatan Angkat Kuala Terengganu yang melibatkan penyokong Selangor FC pada 1 Februari 2026.
Dalam kenyataan media pada Selasa, baginda bertitah, tindakan tidak bermoral seperti budaya samseng dan gangsterisme tidak boleh dibiarkan menular dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan khususnya mereka yang memakai jersi Selangor FC.
Baginda turut menitahkan agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menyiasat dan mencari dalang di sebalik insiden tersebut.
Sekiranya didapati bersalah, mereka harus dikenakan hukuman yang maksimum dan setimpal mengikut undang-undang.
“Ia sebagai pengajaran kepada para penyokong Selangor FC yang lain supaya insiden seumpamanya tidak berulang,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin dalam nada tegas turut mengingatkan semua penyokong Selangor FC agar sentiasa mengawal tingkah laku masing-masing serta menjaga nama baik pasukan dan negeri.
Selain itu, baginda mencadangkan agar mana-mana penyokong yang disabitkan kesalahan menimbulkan kekacauan diharamkan daripada memasuki stadium untuk menghadiri perlawanan membabitkan Selangor FC.








