e-Kehakiman Kembali Beroperasi Sepenuhnya

PUTRAJAYA: Selepas beberapa hari tergendala, Sistem e-Kehakiman di Semenanjung Malaysia kini kembali beroperasi sepenuhnya, sekali gus memulihkan kelancaran urusan mahkamah dan pemfailan dokumen secara dalam talian.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia pada Rabu.

“Dimaklumkan bahawa Sistem e-Kehakiman di Semenanjung Malaysia telah kembali beroperasi sepenuhnya seperti biasa.

“Sehubungan dengan itu, semua urusan pemfailan dokumen secara dalam talian melalui Sistem e-Kehakiman boleh dilaksanakan serta-merta.

“Semua pengendalian kes-kes sebutan, bicara, sambung bicara dan pengurusan kes hendaklah diteruskan seperti biasa,” menurut kenyataan itu.

Pejabat Ketua Pendaftar turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan sistem.

Dengan pemulihan penuh ini, Istana Kehakiman menegaskan komitmen untuk memastikan kelancaran urusan kehakiman di era digital, selaras dengan usaha meningkatkan kecekapan dan akses kepada keadilan di Malaysia.

Anda Mungkin Berminat