Anwar Jelas Isu Jajaran Sempadan Malaysia–Indonesia Di Parlimen

KUALA LUMPUR: Isu jajaran sempadan antara Malaysia dan Indonesia akan diperincikan dalam Sesi Penerangan Khas di Parlimen pagi ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini adalah bagi memastikan rakyat mendapat penjelasan yang tepat dan telus.

Katanya, langkah itu penting untuk memperbetulkan kekeliruan serta salah faham yang timbul dalam kalangan masyarakat berhubung perkara tersebut.

“Isu jajaran sempadan Malaysia–Indonesia akan saya jelaskan secara terperinci dalam Sesi Penerangan Khas di Parlimen pagi ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Anwar turut menekankan komitmen kerajaan dalam menyampaikan maklumat yang jelas dan berlandaskan prinsip Malaysia MADANI, demi menjaga kepentingan rakyat serta hubungan baik dengan negara jiran.

Sebelum ini, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menjelaskan bahawa pemuktamadan pengukuran sempadan darat melibatkan tiga kampung di Kalimantan Utara telah dimeterai melalui memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia pada 18 Februari 2025.

Beliau berkata, setiap pelarasan dibuat berdasarkan undang-undang antarabangsa serta koordinat geospatial yang tepat, hasil perundingan teknikal kedua-dua negara selama lebih 45 tahun dan bukan atas dasar konsesi politik.

Beliau turut menambah bahawa rundingan kawasan masalah sempadan tertunggak (OBP) dilaksanakan secara harmoni tanpa prinsip pampasan atau untung rugi dengan penglibatan aktif kerajaan Negeri Sabah.

Terdahulu, Arthur menafikan laporan media yang mendakwa Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan.

Sebaliknya, beliau berkata, pengukuran dibuat secara saintifik berdasarkan perjanjian terdahulu.

Anda Mungkin Berminat