Klinik Kecantikan Bukit Bintang Diserbu, 15 Warga Asing Ditahan

KUALA LUMPUR: Sebuah klinik kecantikan di Bukit Bintang diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selepas disyaki beroperasi secara haram dengan menggaji pekerja asing yang menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS).

Dalam operasi penguatkuasaan khas ‘Ops Dandan’, seramai 15 warga asing ditahan, terdiri daripada enam lelaki dan tujuh wanita warganegara China serta dua wanita warganegara Myanmar.

Kesemua dipercayai bekerja tanpa Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah.

Siasatan awal mendapati pemilik klinik, seorang warganegara China, turut menyalahgunakan pas dan dipercayai mengaut keuntungan mencecah ratusan ribu ringgit sejak setahun lalu.

Antara barangan yang dirampas dalam serbuan termasuk uniform pekerja, telefon bimbit, komputer riba, kamera litar tertutup, lesen perniagaan serta pelbagai dokumen berkaitan syarikat.

Klinik tersebut didapati menawarkan rawatan muka dan kecantikan badan menggunakan khidmat pekerja asing tanpa kebenaran.

“Kesemua warganegara asing yang ditahan disyaki menjalankan rawatan kecantikan tanpa kebenaran dan menyalahguna Pas Lawatan Sosial.

“Jabatan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap semua pihak yang melanggar undang-undang imigresen,” kata JIM WPKL.

Kesemua suspek kini ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, sebelum dibawa ke Pejabat JIM WPKL untuk tindakan lanjut.

Selain itu, tiga pekerja tempatan yang turut terlibat telah diberikan notis untuk membantu siasatan.

JIM dalam kenyataannya turut mengingatkan masyarakat agar tidak melindungi atau membantu mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen.

Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui saluran aduan rasmi jabatan bagi memastikan keselamatan negara terus terpelihara.

Anda Mungkin Berminat