SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap Dr Malik Yatam, bekas banduan pertama yang berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) ketika menjalani hukuman penjara.
Dr Malik turut menerima pengampunan penuh sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor pada 2024 selepas menjalani hukuman selama 24 tahun.
Menurut Selangor Royal Office, pada pertemuan itu baginda berkenan bertanyakan khabar serta perancangan masa hadapan Malik selepas dibebaskan.
“Baginda amat terharu dengan perjalanan hidup Malik dan berpandangan beliau wajar diberi peluang kedua,” menurut kenyataan itu pada Rabu.
Pengampunan berkenaan dipertimbangkan selepas mengambil kira semua faktor yang dibentangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 24 November 2024.
Baginda turut menasihatkan Malik supaya sentiasa menjaga nama baik keluarga serta mengekalkan semangat untuk memperbaiki taraf hidup.
“Baginda sudah mempertimbangkan pengampunan itu sebaik melihat semua faktor yang disembah maklum,” menurut kenyataan itu lagi.
Pertemuan hampir sejam itu berlangsung dalam suasana hening dan penuh emosi.
Ia juga merupakan pertemuan pertama seumpamanya antara Sultan Selangor dengan bekas banduan yang menerima pengampunan diraja.
Dr Malik dibebaskan pada 11 Disember 2024 selepas menjalani hukuman Tahanan Limpah Sultan (TLS) sejak 2001 pada usia 14 tahun.
Kini berusia 39 tahun, beliau berjaya menamatkan pengajian sehingga ke peringkat PhD dalam bidang Pentadbiran Perniagaan semasa berada di Penjara Kajang.
Kejayaan itu dicapai hasil usaha berterusan melanjutkan pelajaran walaupun menjalani hukuman tanpa tarikh pembebasan.
Baca juga:








