Anwar Tekankan Pendidikan Seimbang, Elak Generasi Tandus Jiwa

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kemajuan negara tidak boleh diukur semata-mata melalui persaingan teknologi atau kepakaran khusus, sebaliknya perlu disandarkan kepada pemerkasaan insan yang menyeluruh, merangkumi kecerdasan intelektual serta pembentukan adab dan nilai kemanusiaan.

Beliau berkata, pendidikan harus berperanan sebagai wahana yang mengimbangi kemajuan ilmu dengan kefahaman sejarah dan jati diri bangsa, bagi mengelakkan lahirnya generasi yang cemerlang dari sudut kepakaran tetapi kosong dari segi jiwa dan nilai.

Mengulas pandangan pemikir Sepanyol, José Ortega y Gasset mengenai fenomena “barbarism of specialization”, Anwar menjelaskan bahawa gejala tersebut merujuk kepada kecenderungan melahirkan individu yang terlalu tertumpu kepada bidang tertentu sehingga terpisah daripada kefahaman kemanusiaan yang lebih luas.

“Pendidikan mesti menjamin keseimbangan antara kecerdasan dan adab, antara kemajuan dan pensejarahan bangsa,” katanya.

Menurut beliau, pembinaan Malaysia Madani menuntut pendekatan yang melangkaui sempadan disiplin sempit dengan menggalakkan budaya wacana sihat serta kefahaman lintas bidang, termasuk penggabungan sains, falsafah, teknologi dan kemanusiaan.

Anwar turut menekankan peranan universiti sebagai institusi yang menyatukan masyarakat dan meredakan polarisasi, bukan sekadar berfungsi sebagai pusat melahirkan tenaga kerja.

“Universiti harus menjadi taman ilmu yang memupuk keluasan akal, kepekaan nurani serta kesedaran terhadap tanggungjawab sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT) pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau menyatakan keyakinan bahawa golongan muda memiliki keupayaan untuk menolak pemikiran menyimpang dan budaya kebencian, sambil menegaskan bahawa kepimpinan masa depan mesti dibina atas asas ihsan, tanggungjawab dan rasa hormat terhadap sejarah negara.

Mengulas cabaran kecerdasan buatan (AI), Anwar menegaskan bahawa kemajuan teknologi perlu diimbangi dengan nilai kemanusiaan agar manusia tidak terasing daripada jati diri sendiri.

Baca juga:;

Anda Mungkin Berminat