Bukan Sekadar Angka, Tetapi Tanggungjawab Laksana Reformasi Berani – Anwar

PETALING JAYA: Kemajuan ekonomi negara tidak boleh hanya diukur melalui angka atau unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sebaliknya ia perlu dilihat daripada keberanian kerajaan melaksanakan pembaharuan demi kesejahteraan rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam ucapannya di Forum Ekonomi Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Khamis, Anwar menekankan bahawa forum tersebut mencerminkan tanggungjawab Kerajaan MADANI untuk mentadbir negara dengan penuh integriti, sekali gus memastikan hala tuju ekonomi Malaysia kekal mampan dan inklusif.

“Forum ini bukan sekadar tentang angka atau ramalan dasar.

“Ia adalah mengenai tanggungjawab untuk mentadbir dengan integriti, melakukan pembaharuan dengan berani dan memastikan kemajuan ekonomi membawa makna sebenar kepada rakyat,” katanya.

Beliau yakin sekiranya Malaysia terus berada di landasan reformasi, negara akan berkembang secara mampan, inklusif dan bermaruah.

Anwar turut menekankan bahawa asas ekonomi Malaysia kini lebih kukuh dengan KDNK dijangka berkembang sekitar 4.9 peratus pada tahun 2025, manakala kadar inflasi berjaya dikekalkan pada paras 1.6 peratus.

“Keyakinan pelabur semakin pulih. Ini adalah petunjuk yang menggalakkan dan mencerminkan pengurusan fiskal yang berdisiplin serta kesungguhan baharu dalam tadbir urus,” ujarnya.

Namun, beliau mengingatkan bahawa kemajuan ekonomi tidak boleh hanya dilihat dari sudut statistik semata-mata, sebaliknya mesti diterjemahkan kepada kehidupan rakyat yang lebih baik.

Sebagai sebahagian daripada strategi ekonomi, Anwar menekankan kepentingan sokongan bersasar dalam menangani isu kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.

“Tekanan kos sara hidup adalah nyata dan dirasai setiap hari.

“Sebab itu strategi ekonomi kita menggabungkan disiplin makroekonomi dengan sokongan bersasar bagi melindungi kuasa beli rakyat,” katanya.

Selain itu, beliau turut memberi penekanan kepada pembangunan sistem pendidikan negara dengan memperuntukkan lebih RM84 bilion melalui Belanjawan 2026 bagi memastikan sistem pendidikan terus relevan dan mampu melahirkan generasi berdaya saing.

Dalam forum itu, Anwar turut menyentuh cabaran perkembangan teknologi khususnya kecerdasan buatan (AI), yang menurutnya menuntut kesediaan negara untuk melakukan perubahan.

“Soalnya bukan sama ada perubahan akan berlaku tetapi sama ada kita bersedia.

“Pilihan yang kita buat hari ini akan menentukan sama ada teknologi meluaskan peluang atau memperdalam jurang ketidaksamaan,” katanya.

Dengan pelbagai inisiatif yang digerakkan, Anwar berharap Malaysia akan terus berkembang sebagai negara yang mampu menjana peluang untuk semua lapisan masyarakat, membuka akses kepada pendidikan lebih baik, menyediakan pekerjaan bermaruah dan membina masa depan yang cerah.

Anda Mungkin Berminat