Oleh: Aliyaa Azmi
KUALA LUMPUR: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa penggunaan kalimah-kalimah Islam seperti ‘Alhamdulillah’, ‘InshaAllah’ dan seumpamanya oleh golongan bukan Islam dalam perbualan harian adalah dibolehkan, selagi tidak merendahkan kesucian agama Islam.
Menurut kenyataan Bayan Linnas Siri Ke-338 yang dikeluarkan hari ini, keharusan itu tertakluk kepada syarat penggunaan kalimah berkenaan tidak mengandungi unsur penghinaan, persendaan atau digunakan dalam konteks yang salah.
“Penggunaan kalimah-kalimah Islam oleh non-Muslim adalah harus dengan syarat ia tidak merendahkan kesucian agama Islam dan tidak mengandungi unsur penghinaan,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.
Pejabat Mufti WP memaklumkan, dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, pergaulan antara kaum dan agama sering menyebabkan berlakunya peniruan budaya dan bahasa, termasuk penggunaan istilah keagamaan.
“Fenomena ini merupakan suatu perkara yang normal dalam masyarakat majmuk hasil pergaulan antara budaya dan agama yang berbeza,” menurut kenyataan berkenaan.
Menurutnya, sekiranya seorang bukan Islam mengucapkan ‘Alhamdulillah’ dalam situasi tertentu seperti selepas bersin, umat Islam dibenarkan untuk memberi respon yang sesuai tanpa memohon keampunan atau rahmat khusus yang dikhaskan kepada orang Islam.
“Umat Islam dibenarkan mendoakan kebaikan seperti hidayah dan kesejahteraan kepada non-Muslim, namun tidak dibenarkan memohon keampunan dan rahmat yang khusus bagi orang beriman,” jelas kenyataan itu.
Bagaimanapun, Pejabat WP menegaskan bahawa penggunaan kalimah Islam tidak dibenarkan sekiranya bertujuan mempermainkan, menghina atau dijadikan bahan komersial yang mencemarkan makna asalnya.
“Jika penggunaan kalimah-kalimah suci ini bertujuan penghinaan atau olok-olok, maka ia perlu ditegah dan dielakkan,” tegas kenyataan berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya bukan Islam disaran merujuk umat Islam bagi memahami makna sebenar kalimah-kalimah Islam agar penggunaannya tepat dan selari dengan konteks serta adab yang betul.
Terdahulu, tular di parlimen Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mempersoalkan tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menggunakan kalimah sinonim dengan umat Islam pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Siti Zailah menyifatkan tindakan itu bukan sahaja mengelirukan masyarakat bukan Islam, malah seolah-oleh mempermainkan kesucian Islam.
Kor Ming dalam jawapan balasnya meminta Siti Zailah bertenang dan tidak terlalu emosional dan menjelaskan beliau juga anak Kelantan, menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan.
Baca juga:








