PUTRAJAYA: Kerajaan akan melaksanakan kawalan harga bagi 16 jenis barangan keperluan utama sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina bagi memastikan kestabilan harga dan melindungi pengguna daripada kenaikan harga yang tidak munasabah.
Menurut jurucakap kerajaan perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, langkah itu akan dilaksanakan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) selama sembilan hari bermula 13 hingga 21 Februari 2026.
“Ini bertujuan memastikan pengguna menikmati harga yang adil sepanjang musim perayaan, serta mengelakkan sebarang penyalahgunaan pasaran,” katanya di sidang media mingguan pada Jumaat.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, penguatkuasaan kawalan harga akan menumpukan kepada barangan asas dan popular semasa musim perayaan, termasuk bahan makanan dan produk keperluan harian yang berisiko tinggi mengalami kenaikan harga.

Beliau menegaskan kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi kawalan harga atau cuba menimbulkan ketidakseimbangan pasaran.
“Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap aktiviti perniagaan yang melanggar peraturan, dan tindakan pantas akan diambil untuk memastikan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara,” tambahnya.
Menurut Fahmi, KPDN akan mengeluarkan kenyataan penuh mengenai senarai barangan dan kadar harga maksimum yang dikawal dalam masa terdekat bagi memudahkan rujukan orang ramai.
Kerajaan juga menyeru orang ramai untuk menyalurkan sebarang aduan atau maklumat berkaitan kenaikan harga barang atau aktiviti perdagangan tidak wajar melalui saluran rasmi KPDN.
Baca juga:








