Anwar Ucap Tahniah, Sedia Perkukuh Perkongsian Strategik Malaysia-Jepun

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Jepun, Takaichi Sanae, atas kemenangan besar Parti Demokratik Liberal (LDP) dalam pilihan raya umum negara itu.

Beliau menyifatkan mandat yang begitu meyakinkan itu sebagai bukti keyakinan rakyat Jepun terhadap visi pembaharuan ekonomi yang dibawa oleh Takaichi serta keupayaannya menarik sokongan generasi baharu pengundi.

Anwar turut mengimbas lawatan rasmi Perdana Menteri Takaichi ke Malaysia pada Oktober 2025, hanya beberapa hari selepas beliau memegang jawatan.

Kehadiran beliau dalam sidang kemuncak yang dipimpin ASEAN ketika itu memperlihatkan komitmen dan semangat tinggi dalam membincangkan isu-isu penting yang menjadi kepentingan bersama, termasuk ketahanan ekonomi, peralihan hijau dan keselamatan maritim.

“Malaysia komited untuk meneruskan momentum dalam perkara-perkara penting ini dan lain-lain lagi,” kata Anwar, sambil menegaskan bahawa kerjasama dua hala akan terus diperkukuh.

Beliau juga menekankan tekad Perdana Menteri Jepun yang pernah berjanji akan “work, work, work, work and work” demi negaranya.

“Saya menantikan peluang untuk bekerja dengan penuh kesungguhan bersama Perdana Menteri Takaichi bagi membawa Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-Jepun ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Kemenangan LDP di bawah pimpinan Takaichi dilihat membuka lembaran baharu dalam hubungan Malaysia-Jepun, dengan kedua-dua negara berazam memperkukuh kerjasama dalam bidang ekonomi, keselamatan dan pembangunan mampan.

Anda Mungkin Berminat