10 kluster baharu Tibi dikesan dalam negara – Menteri

PARLIMEN | Sebanyak 10 kluster baharu kes jangkitan tuberkulosis atau tibi dilaporkan di negara ini sehingga 7 Februari lalu, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Katanya, daripada jumlah itu, Selangor mendahului dengan merekodkan empat kes.

“Di Johor, satu kes baru-baru ini, (membabitkan) wanita warga emas, guru al-Quran berusia 72 tahun, yang berakhir dengan 903 kontak rapat dikenal pasti,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) yang meminta penjelasan mengenai status terkini kluster tibi mengikut negeri serta jumlah kes aktif yang masih dipantau.

Katanya, kluster lain turut dilaporkan masing-masing di Kedah, Kelantan, dan Perlis dengan dua kes, Pahang empat kes, serta Sabah lima kes.

Jelas Dr. Dzulkefly, bagi institusi berisiko tinggi seperti sekolah berasrama, penjara, dan asrama pekerja, saringan dilaksanakan mengikut Manual Tuberculosis Information System (TBIS 2018) yang melibatkan pengenalpastian, penilaian, dan pemeriksaan kontak.

“Saringan simptom termasuk batuk berpanjangan, demam, hilang selera makan, dan susut berat badan; pemeriksaan klinikal paru-paru; pemeriksaan x-ray paru-paru; serta pemeriksaan kahak iaitu sputum mikroskopi dan kultur,” katanya lagi.

Dalam usaha mengawal penularan tibi, beliau berkata individu yang disahkan menghidap penyakit berkenaan akan diberikan rawatan awal anti-tibi.

Jelasnya, kontak rapat yang tidak dijangkiti pula akan disaring bagi mengesan jangkitan tibi atau tibi laten dan diberikan rawatan pencegahan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat