EAIC Umum Tindakan Terhadap Agensi Ingkar

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengambil langkah tegas dengan mengumumkan bahawa syor-syor hasil siasatan yang masih gagal dilaksanakan oleh agensi penguatkuasaan akan didedahkan secara terbuka.

Tindakan itu bertujuan memperkukuh tadbir urus serta memastikan akauntabiliti dalam kalangan agensi di bawah seliaan suruhanjaya.

Pengerusi EAIC, Tan Sri Dr İsmail Bakar berkata, langkah tersebut menyusul selepas peringatan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi tempoh seminggu kepada ketua-ketua agensi untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Tindakan ini bertujuan untuk menegakkan keadilan terbaik bagi semua pihak dan memastikan keberkesanan institusi tidak dikompromi, selaras dengan mandat EAIC terhadap rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam kenyataan itu, EAIC turut menekankan bahawa pengurusan tatakelakuan pegawai awam mesti dilaksanakan secara berdisiplin dan mengikut tatacara yang ditetapkan.

Setiap laporan yang dirujuk kepada pihak berkuasa tatatertib hendaklah diproses mengikut prosedur dan menjadi kewajipan ketua jabatan untuk menjalankan kawalan serta pengawasan tatatertib ke atas pegawai bawahannya, selaras dengan Peraturan 3C P.U (A) 395/1993.

EAIC berharap semua agensi yang terlibat memberikan kerjasama penuh dengan mengambil tindakan sewajarnya serta mengemukakan maklum balas dalam tempoh yang ditetapkan.

Anda Mungkin Berminat