Malaysia Kukuh Integriti, CPI Naik Dan Sasaran Lebih Tinggi Menjelang 2030

PETALING JAYA: Malaysia terus menunjukkan perkembangan positif dalam usaha memperkukuh integriti negara apabila kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025 meningkat ke tangga 54 daripada 182 negara, berbanding kedudukan ke-57 pada tahun sebelumnya.

Skor keseluruhan turut bertambah kepada 52 mata berbanding 50 pada 2024, menurut laporan Transparency International Malaysia.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti komitmen kerajaan dalam menambah baik ekosistem tadbir urus dan pencegahan rasuah.

“Pencapaian ini adalah bukti komitmen Malaysia dalam menambah baik ekosistem tatakelola baik dan mencegah rasuah bagi memastikan negara terus berdaya saing di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, peningkatan CPI itu didorong oleh kejayaan Pasukan Petugas Khas CPI yang memberi fokus kepada aspek pengurusan dana awam, penguatkuasaan, daya saing perniagaan, risiko pelaburan, perundangan serta komunikasi strategik.

Menurutnya lagi, dua survei utama mencatatkan lonjakan ketara iaitu IMD World Competitiveness Ranking (+12 mata) dan World Economic Forum Executive Opinion Survey (+14 mata), sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap usaha antirasuah Malaysia.

Dalam masa yang sama katanya, kerajaan menetapkan sasaran lebih tinggi untuk masa depan.

Shamsul Azri berkata, Malaysia beriltizam untuk berada dalam kelompok 25 teratas CPI menjelang 2030, selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13.

“Usaha akan diteruskan bagi memperkukuh ekosistem tatakelola baik negara dan integriti,” katanya.

Beliau turut menggariskan lima langkah strategik utama iaitu memperkasa inisiatif antirasuah melalui pendigitalan perkhidmatan kerajaan, memastikan penghayatan nilai integriti dalam kalangan penjawat awam, menguatkuasakan Akta Perolehan Kerajaan, melancarkan Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES) serta Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) dan meneruskan pembaharuan undang-undang serta institusi bagi meningkatkan kebertanggungjawaban sektor awam.

Inisiatif itu selaras dengan kerangka dasar Malaysia MADANI yang menekankan pengukuhan tadbir urus berasaskan integriti dan reformasi yang diyakini rakyat.

Anda Mungkin Berminat